Wednesday 12 October 2016

Mengilham Kreativiti Merempuh Realiti



Menurut Howard Gardner (1983), individu yang mampu menyelesaikan sesuatu masalah dilihat sebagai seorang yang kreatif di mana individu yang kreatif berupaya menyelesaikan masalah demi masalah atau berupaya menghasilkan sesuatu yang baru dan berguna dalam bidang tertentu. Walau bagaimanapun, terdapat juga individu yang beranggapan bahawa idea kreatif hanya ada pada orang yang tertentu sahaja dan bukan semua orang boleh memilikinya.  Sebenarnya, kreativiti bukan bergantung kepada tanggapan kita samada kita adalah seorang yang kreatif ataupun tidak, tetapi ia bergantung kepada bagaimana cara kita berfikir. Kita sering memikirkan bahawa kita bukan seorang yang kreatif apabila tidak boleh menghasilkan sesuatu yang unik.  Sebenarnya hal ini hanyalah persepsi seseorang individu sahaja. Kreativiti sebenarnya boleh dipupuk dan perlu dilatih di mana ia bukanlah satu anugerah mutlak yang wujud apabila seseorang itu dilahirkan.

oleh : NORAINI BINTI MOHD SALLLEH

PENGENALAN KREATIVITI

Sebagai permulaan, menulis ini pada dasarnya  bukanlah suatu kerja yang mudah. Menulis adalah satu kerja yang memakan masa yang lama dan boleh berlaku pada bila-bila masa dalam tempoh 24 jam. Kerja menulis memerlukan stamina, akal dan tubuh badan yang sihat, minat dan kecintaan yang mendalam dan berterusan, cita-cita yang tinggi, disiplin yang ketat, dan lebih beruntung kalau mempunyai sedikit bakat. Menulis bermakna seseorang penulis sengaja mencari, mencipta atau menambahkan masalah dan masalah itu pula diselesaikan sendiri oleh penulis tersebut.
Menurut Kamus Dewan (1993), kreativiti ini merupakan kemampuan individu dalam mencipta daya kekreatifan. Kebiasaannya individu yang mempunyai sifat kreatif yang tinggi, mempunyai perasaan yang istimewa dan tidak memaparkan secara lansung tentang sesuatu yang dialamainya malah menggunakan perbandingan seperti metafora untuk menzahirkannya.
Selain itu, Hizairi Othman dalam bukunya yang bertajuk Kreativiti Dalam Penciptaan Karya Sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur (2000) menyatakan bahawa bidang kreativiti ini sangat luas. Istilah kreativiti itu sendiri sukar untuk didefinisikan secara mutlak mengikut setiap keperluan dan setiap individu. Dalam hal ini, kreativiti menjadi sangat subjektif sifatnya. Kreativiti ini bukanlah sesuatu yang boleh dilihat. Kreativiti merupakan tenaga yang tidak wujud pada mata kasar tetapi diketahui ada. Walau bagaimanapun, kreativiti nyata mempengaruhi seluruh kehidupan manusia serta mewarnainya. Kreativiti tidak dapat dipisahkan daripada kesusasteraan. Hal ini demikian kerana, tidak kira dalam apa jua genre sudah pasti memerlukan kreativiti. Oleh itu, sesebuah karya sastera tidak akan lebih menarik jika tidak diserikan lagi dengan daya kreatif oleh penulis.


OLEH: NUR SYIFAA ATIKAH BINTI NORDIN