Sebagai permulaan, menulis ini pada dasarnya bukanlah suatu kerja yang mudah. Menulis
adalah satu kerja yang memakan masa yang lama dan boleh berlaku pada bila-bila
masa dalam tempoh 24 jam. Kerja menulis memerlukan stamina, akal dan tubuh
badan yang sihat, minat dan kecintaan yang mendalam dan berterusan, cita-cita
yang tinggi, disiplin yang ketat, dan lebih beruntung kalau mempunyai sedikit
bakat. Menulis bermakna seseorang penulis sengaja mencari, mencipta atau
menambahkan masalah dan masalah itu pula diselesaikan sendiri oleh penulis
tersebut.
Menurut Kamus Dewan (1993), kreativiti ini merupakan kemampuan
individu dalam mencipta daya kekreatifan. Kebiasaannya individu yang mempunyai
sifat kreatif yang tinggi, mempunyai perasaan yang istimewa dan tidak
memaparkan secara lansung tentang sesuatu yang dialamainya malah menggunakan
perbandingan seperti metafora untuk menzahirkannya.
Selain itu, Hizairi Othman dalam bukunya yang bertajuk Kreativiti
Dalam Penciptaan Karya Sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala
Lumpur (2000) menyatakan bahawa bidang kreativiti ini sangat luas. Istilah
kreativiti itu sendiri sukar untuk didefinisikan secara mutlak mengikut setiap
keperluan dan setiap individu. Dalam hal ini, kreativiti menjadi sangat subjektif
sifatnya. Kreativiti ini bukanlah sesuatu yang boleh dilihat. Kreativiti
merupakan tenaga yang tidak wujud pada mata kasar tetapi diketahui ada. Walau
bagaimanapun, kreativiti nyata mempengaruhi seluruh kehidupan manusia serta
mewarnainya. Kreativiti tidak dapat dipisahkan daripada kesusasteraan. Hal ini
demikian kerana, tidak kira dalam apa jua genre sudah pasti memerlukan
kreativiti. Oleh itu, sesebuah karya sastera tidak akan lebih menarik jika
tidak diserikan lagi dengan daya kreatif oleh penulis.
OLEH: NUR SYIFAA ATIKAH BINTI NORDIN
No comments:
Post a Comment